My Blog List

Wednesday, January 4, 2012

KREATIVITI DALAM PEMBELAJARAN

Apa itu kreativiti? Berbagai-bagai makna dan pengertian telah diberikan terhadap erti kreativiti. Menurut Majaro (1992) kreativiti sebagai proses pemikiran yang mendorong dalam mengeneralisasikan idea baru.

Oldham dan Cumming (1196) menyatakakan kreativiti ialah original, berkaitan, produk yang bermanfaat atau prosedur menghasilkan idea baru.

Nystrom (1979) menyatakan kreativiti sebagai penemuan baru di mana ia menuju ke arah yang lebih realiti.

Mumford dan Gustafson (1998) menyebut kreativiti ialah penghasilan produk-produk dan dihargai oleh masyarakat.

Irving Taylor (1959) pula membuat analisis ke atas seratus definisi kreativiti dan mengklasifikasikannya kepada lima peringkat iaitu:-

1. Peringkat ekspresif
2. Peringkat produktif
3. Peringkat inventif
4. Peringkat inovatif
5. Peringkat emergentif

Secara am, semua pakar bersetuju novelti adalah komponen yang wajib dalam kreativiti. Boleh diringkaskan secara umum bahawa kreativiti ialah kombinasi di antara idea baru dan idea lama. Idea baru diperlukan dan idea lama dikaji dan dinilai semula. Ia juga merupakan proses melihat semula, memilih, menukar ganti, gabungan antara maklumat idea baru dan kemahiran.

Dalam organisasi sekolah, kreativiti dilihat sebagai satu kuasa atau force yang penting bagi mencorakkan perkembangan kreativiti dalam pengurusan sekolah (Abdul Rahim Abdul Rashid. 2002). 

Pengurusan organisasi sekolah perlu kreatif bagi menjadikan sekolah organisasi pembelajaran yang dinamis untuk mengembangkan pengetahuan baru, budaya saintifik, penyebaran teknologi maklumat dan pembangunan potensi manusia. 

Cabaran sekolah dan pendidikan dalam era perubahan k-ekonomi revolusi pengetahuan dan informasi maklumat memerlukan sekolah mengadaptasikan pelbagai perubahan yang berlaku (Harman, 1998). 

Wawasan dan misi sekolah perlu bersifat kreatif bagi menjadikan sekolah organisasi pembelajaran yang berkesan dan progresif (Wall, 1999). 

Pengurusan perubahan memerlukan organisasi sekolah memantapkan lagi wawasan organisasi yang mampu membawa dan menjadikan sekolah pusat kecemerlangan ilmu pengetahuan, penyebaran idea baru dan menyuburkan pemikiran kreatif untuk perubahan sosial, teknologi dan membentuk masyarakat berpengetahuan (Fransman, 1999).

Caserani dan Greatwood (1995) menggariskan beberapa langkah dan strategi penting bagi mencetuskan kreativiti dalam organisasi sekolah dengan mengambil kira perkara-perkara berikut:-

1. Mewujudkan persekitaran untuk perkembangan kreativiti
2. Menggalakkan perkembangan idea dan pendapat
3. Pengaliran dan kebebasan maklumat untuk mendorong kreativiti
4. Membina suasana dan iklim organisasi tempat kerja yang menggalakkan kreativiti
5. Membentuk struktur kreatif penyelesaian masalah
6. Perkembangan pemikiran kepada tindakan


Terdapat pelbagai jenis kreativiti yang boleh dikembangkan dalam organisasi pembelajaran sekolah. Taylor (1975) menyarankan beberapa jenis kreativiti berikut yang menunjukkan perbezaan dari segi proses iaitu:-

1. Kreativiti Ekspresif - ekspresi yang berlaku secara bebas di mana originaliti dan kualiti tidak dipentingkan (contoh, cap jari kanak-kanak)

2. Kreativiti Teknikal – kecekapan bagi menghasilkan sesuatu produk (contoh, membuat biola)

3. Kreativiti Inventif - reka cipta baru yang dihasilkan seperti penemuan telefon bimbit dan penulisan novel

4. Kreativiti Inovatif - kefahahaman dan modifikasi andaian asas dan prinsip-prinsip dengan pendekatan alternatif

5. Kreativiti emergentif - kreativiti yang kompleks dan bentuk yang jarang berlaku yang boleh merintis perubahan keseluruhan prinsip atau andaian paling asas dan di peringkat abstrak.

Dalam organisasi sekolah terdapat beberapa jenis kreativiti yang mendasari perkembangan pendidikan di sekolah, yang meliputi:-

1. Kreativiti kurikulum – ini banyak berlaku dalam isi kandungan pelajaran, tema dan aspek-aspek pembelajaran, reka bentuk dan gubahan bahan pembelajaran, strategi dan pelaksanaan kurikulum.

2. Kreativiti pengajaran – menyentuh kaedah-kaedah, pendekatan, cara, pengurusan dan organisasi pembelajaran, perancangan dan pelaksanaan pengajaran di bilik darjah dan di sekolah

3. Kreativiti profesional – mengenai perkembangan guru dari segi personaliti, cara dan budaya profesional yang dikembangkan, kecekapan dan kepakaran, amalan baru, pemikiran baru, adaptasi terhadap inovasi pendidikan yang berlaku dan dilaksanakan dalam profesion ini.

4. Kreativiti pemikiran - mencorakkan perkembangan minda, pandangan yang progresif, fikiran terbuka, pembacaan dan pengetahuan yang kreatif, pencetusan idea baru yang mendorong kemajuan diri dan kemajuan pendidikan amnya.

5. Kreativiti persekitaran belajar – iaitu kreativiti yang mencorakkan suasana dan keadaan tempat belajar seperti bilik darjah dan sekolah. Iklim sekolah dan bilik darjah yang dinamik dan progresif boleh terbentuk jika ada pendekatan kreatif berlaku dalam organisasi pembelajaran.

6. Kreativiti pengurusan – cara sekolah dikendalikan dan beroperasi, inovasi dalam sistem pengurusan, hubungan, sokongan, kemajuan pembelajaran, penyelesaian masalah dalam hubungan dan perkhidmatan yang ditawarkan.

7. Kreativiti teknologi – bagaimana teknologi digunakan untuk pencetusan inovasi dalam pengajaran, pembelajaran dan pengurusan sekolah. Inovasi terknologi maklumat dan sumbangannya kepada kreativiti dan inovasi sekolah.

Sekolah perlu membangunkan sistem pendidikannya yang kreatif bagi melahirkan individu dan masyarakat yang kreatif. Pelbagai inovasi yang boleh mendorong kepada perubahan dan kemajuan kreatif perlu diperkenalkan dalam sistem pengurusan pembelajaran sekolah. Unsur-unsur kreatif yang dikembangkan di sekolah boleh menjadikan sekolah lebih berinovasi dan berdaya maju bagi membina kesejahteraan dan menggilap potensi manusia. Wawasan falsafah pendidikan sekolah perlu bersandarkan kepada idea pemikiran progresif yang mementingkan kreativiti dan inovasi untuk dikembangkan dalam sistem pembelajaran sekolah.

Tuesday, January 3, 2012

Teori Semiotik Dalam Karya Seni Visual

Jarang sekali dalam dunia seni visual dinegara kita membincangkan kritikan dan persoalan seni visual atas landasan teori. Teori seni juga kurang menarik dibincangkan mungkin kerana ianya sukar difahami dan kurang orang seni visual meminati. Persoalan teori seni visual menjadi lesu dan tidak diambil pusing oleh sarjana-sarjana dalam bidang seni visual. Berbanding dengan disiplin seni sastera yang sangat ghairah membincangkan aspek-aspek teori dalam penghasilan karya-karya mereka.

sebenarnya sebuah karya seni visual adalah juga merupakan susunan kata ibarat sebuah 'prosa' atau sebuah 'puisi' yang termaktub melalui bahasa visual. Teori semiotik adalah landasan metodologi membuka bahasa dalam sebuah karya seni visual melalui 'pembedahan' dari seni makna tersirat dan tersurat. Kalau kita membaca beberapa buah buku mengenai teori semiotik ini, kita dapati bahawa gagasan pemikiran semiotik itu sendiri melalui proses pengembangan dari tokoh seperti Pierce, Levi strauss, Roland Bartes, Umberto Eco hingga Vihma. Perkembangan teori ini memberi kesan yang besar terhadap pemikiran berlandaskan estetik dan artistik.

Semotik adalah berasal dari kata Yunani iaitu 'Semeion' yang bermaksud tanda. Istilah ini diperkenalkan oleh ahli falsafah Jerman yang bernama Lambert dalam abad ke 18. Dua orang tokoh utama sebagai printis memperkenalkan semiotik ialah Charles Sanders Pierce (1839-1914) dan Ferdinand de Saussure (1857-1913).

Pierce menyatakan maksud 'tanda' adalah sangat luas dan melangkaui tanda-tanda yang bersifat umum. Menurutnya ada tiga hubungan yang berkaitan dengan tanda, iaitu:
1. Ikon - contoh: peta, logo, lambang dsb.
2. Indeks - contoh: seni reka tanda, penunjuk arah dsb.
3. simbol - contoh: bersalaman, angguk kepala tanda setuju dsb.

Persoalanya bagaimana dikaitkan dengan kritikan teori ini dengan karya seni visual?.

Kalau diambil kira kenyataan pierce yang menyatakan maksud tanda dan kaitan dengan ikon, indeks dan simbol maka kita boleh rumuskan bahasa dalam sesuatu karya seni visual samada dalam seni halus (pengkaryaan) atau reka bentuk (perekaan), tiga perkara ini dapat dirangkumkan melalui petunjuk makna tersirat. 

Dalam penghasilkan sebuah karya seni visual pengkarya akan menentukan hal benda sebagai mewakili maksud karya oleh yang demikian maka itu adalah maksud ikon yang mewakili dasar pokok persolan yang dikemukakan oleh pengkarya. Sementara peristiwa atau sesuatu perkara seperti budaya dan pengaruh yang hendak digambarkan itu adalah merupakan indeks. Manakala simbol adalah makna tersirat melalui imej dan gubahan yang dibentuk.

Dalam bidang komunikasi visual sangat berhubung rapat dengan teori semiotik ini. Dalam buku Basic Visual Concepts and Principles oleh Charles Wallschlaeger dan Cynthia Busic-Snyder di awal penerangannya menyatakan kepentingan dalam sesuatu reka bentuk adalah seseorang pereka bentuk memahami teori persepsi dan teori komunikasi. Teori persepsi yang dimaksudkan ialah teori Gestalt dan teori komunikasi ialah teori semiotik atau 'teori tanda'.